Sabtu, 7 Mei 2011

Ingatan Untuk Semua Yang Bernama Anak


Assalammualaikum, memandangkan beberapa hari lagi adalah Hari Ibu jadi hari ni saya nak kongsi pengetahuan tentang tanggungjawab kita sebagai anak-anak terhadap ibubapa. Sebenarnya bukan pada hari Ibu sahaja kita boleh menghargai jasa ibubapa kita. Adalah lebih baik kalau kita jadikan setiap hari adalah hari ibubapa adalah lebih banyak syafaatnya. 

Adab/Tanggungjawab seorang Anak terhadap Ibubapa
Berbakti kepada kedua Ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka, adalah diantara tugas yang wajib dilaksanakan sebagai orang Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam Al-Quran. Firman Allah s.w.t:

Dan Kami mewasiatkan (memerintahkan) kepada manusia itu supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu ! kepadaKu tempat kembali”. (Lukman:14)

Di dalam hadis-hadis disebutkan beberapa dosa besar yang dinyatakan oleh Nabi saw secara tertib:

1. Mempersekutukan Allah
2. Derhaka kepada dua ibubapa.
3. Cakap bohong atau persaksian bohong


Sebagaimana Sabda Bagin Rasulullah s.a.w:
 Ertinya: “Dosa yang paling besar ialah tiga: Mensyirikkan Allah, Menderhakai kedua ibu bapa den bersaksi dusta”

Adab/tangungjawab seorang anak terhadap ibubapanya terbahagi kepada 2 iaitu :
1)      Tanggungjawab semasa mereka hidup
2)      Tanggungjawab setelah mereka meninggal dunia

Antara adab/tanggungjawab seorang anak terhadap ibubapanya ketika hayatnya adalah seperti berikut:
1. Sentiasa taat dan patuh terhadap suruhan /ajaran ibubapa. Sesuai dengan perintah Allah swt supaya pertama-tamanya beribadat kepadaNya dan selepas itu taat kepada kedua ibubapa.

2. Hendaklah bercakap dengan lemah lembut dan suara yang rendah ketika bertutur dengan ibubapa. Jangan sekali-kali membantah dan mengherdik mereka dengan apa jua perkataan kerana perbuatan itu ditegah Allah SWT .

3. Sentiasa hormat dan kasih sayang kepada kedua ibubapa.

4. Jangan sekali-kali menderhaka kepada mereka, kerana derhaka kepada kedua ibubapa adalah suatu dosa besar. Anak yang tidak mendapat keredhaan ibubapnya akan tidak mendapat keredhaan Allah dan ibadatnya tidak diterima Allah swt.
Ingatlah firman Allah ini :

Ertinya: “Dan Tuhanmu telah memrintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripadaNya dan kepada kedua ibu bapa hendaklah berbuat baik. Dan kalau salah seorang diantara keduanya telah mencapai usia tuan, maka janganlah engkau mengatakan kepada keduanya ‘cis’ dan janganlah engkau menengking keduanya, tetapi hendaklah engkau berkata kepada keduanya dengan perkataan yang hormat. Dan turunkanlah sayap merendahkan diri terhadap keduanyadengan belas kasihan dan katakanlah: Tuhanku, kasihanilah kiranya keduanya, sebagaimana keduanya telah membelaku dengan penuh kasih saying semasa aku kecil”. (Al-Isra’: 23-24) 


Dalam sebuah hadith, Nabi Muhammad saw bersabda:

“Keredhaan Allah  bergantung kepada keredhaan kedua ibubapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan kedua ibu bapanya”

5. Sentiasalah mendoakan dan meminta keampunan untuk mereka, sama ada mereka masih hidup atau setelah mereka meninggal dunia dengan berdoa'



6. Hendaklah memanggil ibubapa dengan panggilan yang disenangi mereka.

7. Gembirakanlah hati ibubapa dengan menolong kerja rumah di samping melayani dengan penuh kasih sayang (jika tinggal bersama) atau dengan memberikan apa juga bantuan mengikut keperluan yang dihadapi semasa menghadapi saki baki hidupnya.

8. Ucapkan salam dan pohon kemaafan kepada ibu bapa ketika bertemu dan berpisah dengan mereka, kerana mungkin salah seorang darinya (anak atau ibu dan bapa) akan meninggalkan dunia yang fana ini tanpa dijangka.

9. Muliakan sahabat-sahabat ibubapa, hubungkan tali silaturrahim dengan keluarga dan sahabat-sahabat mereka.

10. Apabila mereka sudah lanjut umur (tua) dan uzur, hendaklah dipenuhi segala keperluan mereka. Selalu menziarahi mereka kerana dengan ini boleh menghibur dan mentetenteramkannya, sebagai melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap jasa bakti yang telah dapat dinikmati.
Sabda Baginda s.a.w:   
" Berbaktilah kepada dua orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatanisteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka”
Selepas kematian mereka

         Hubungan anak dengan ibu bapa adalah di  dunia dan akhirat. Tanggungjawab anak
terhadap ibu bapa tidak terhenti dengan kematian salah seorang atau keduanya sekali. Anak masih mempunyai tanggungjawab selepas kematian mereka. Ini menunjukkan bahawa Islam mementingkan tanggungjawab kehidupan dunia dan akhirat. 

         Apabila ibubapa meninggal dunia, anak hendaklah membanyakkan berdoa untuk keselamatan dan mendapat rahmat dari Allah, banyakkan bersedekah dan membacakan ayat-suci Al Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada mereka. Semua kebajikan yang dilakukan akan diterima berterusan pahalanya untuk mereka di sisi Allah swt. Inilah satu kaedah yang berterusan yang menghubungkan antara anak dan ibubapa walaupun jasad mereka tidak ada lagi.
Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya:

Apabila mati anak Adam terputuslah amalannya
kecuali 3 perkara:

a)sedekah jariah
b)ilmu yang berfaedah
c)anak soleh yang mendoakan kepadanya
                                                                                       (Riwayat Muslim)

Akibat anak derhaka

Walaupun sudah mempunyai keluarga sendiri, anak wajib mentaati dan menghormati kedua
ibu bapanya. Anak yang tidak mentaati kedua ibu bapanya dianggap anak yang derhaka. Amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak mendapat ganjaran. Oleh itu, perbuatan
baik sepanjang hayat mungkin sesuatu yang sia-sia sahaja. Dalam kehidupan berkeluarga
perlu mendapat keredhaan dari kedua ibu bapa kerana tanpa keredhaan mereka berdua,
hidup seseorang tidak diberkati Allah.

Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya:

“Redha Tuhan bergantung pada redha dua orang tua, dan murka Tuhan bergantung pada murka orang tua”
                                                                                                      (Riwayat al-Hakim)

         Akibat penderhakaan kepada ibu bapa, anak tersebut menanggung dosa serta dilaknat Allah. Kesalahan menderhaka kepada ibu bapa termasuk dalam dosa-dosa besar. Begitu juga anak-anak tidak sewajarnya mengejek atau menghina ibu bapa orang lain. Akibatnya ibu bapanya pula akan dihina.

Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya:

Bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda “Di antara dosa besar adalah makian seseorang terhadap kedua orang tuanya” Mereka bertanya “Wahai Rasulullah, apakah seseorang memaki kedua orang tuanya”. Beliau menjawab “Ya, ia memaki ayah orang lain,
lalu orang lain itu memaki ayahnya, dan ia memaki ibu orang lain, lalu orang lain itu memaki ibunya”.
                                                                                   (Riwayat al-Bukhori dan Muslim)

Kesimpulannya

      Natijahnya tanggungjawab kita terhadap ibubapa kita bukan sekadar di dunia sahaja tetapi di bawa ke akhirat. Marilah kita bermuhasabah diri sejauh manakah kita telah menjalankan tanggungjawab kita kepada mereka, adakah ianya sudah cukup untuk membalas jasa mereka?.

      Saya sendiri merasa pengorbanan saya terhadap ibu bapa saya masih belum dapat membalas jasa mereka yang tak terhingga.

Pesanan Ikhlas : JANGAN DITANYA APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN UNTUK KITA TETAPI TANYALAH APA YANG KITA TELAH LAKUKAN UNTUK MEREKA.

3 ulasan:

  1. Alhamdulillah....penuh info yang menginsafkan!
    Selamat Hari Ibu kepada semua insan yang bergelar IBU termasuklah Cikgu Eyta!

    BalasPadam
  2. Terima kasi Abg Ijal, sekadar berkongsi pengetahuan yang tak seberapa je...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya juga sukakan info ini. Ramai di antara kita yg ingin berjaya tetapi mungkin disebabkan terlupa 'tanggungjawab' kita kepada ibu bapa menyebabkan doa kita utk berjaya terhalang. Oleh itu sama2lah muhasabah diri. Terima kasih Cikgu Eyta

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...